Jumaat, 23 Januari 2009

TAHUN BARU AZAM BARU


Aku memulakan tahun 2009, dengan beberapa azam untuk memperbaiki jatidiri sebagai umat Muhammad yang aku rasakan telah goyah keimananku lantaran godaan duniawi.
semakin lama aku berfikir semakin kelabu dan hilang punca.
aku tahu aku yang salah, aku menyimpang dari hasrat hakiki. dah lama aku ingin pulang bersama angin perubahan. tetapi aku tetap di takuk lama. tetap itu juga yang aku buat, tetap lalai...kadang aku buat kadang aku sengaja memberatkan hati mengerjakan perintah-Nya.
akulah makhluk yang angkuh menyombong diri tersasar dari haluan sebenar aku diciptakan di muka bumi yang bersifat sementara ini. sedangkan aku tahu, sedalam-dalamnya aku tahu atas sebab apa aku berada di sini. bukti terbuka luas di depan mata, sengaja aku membutakan hati untuk menghayatinya.
hasil usaha aku mencari keyakinan hakiki aku dipertemukan dengan novel ini. ada beberapa peminat atau cuba-cuba minat membaca novel ini yang menganggap ia hanyalah satu karya seram ala gothik, mempunyai corak tulisan penuh dengan fantasi dan dogengan. namun bukan kisah penceritaan mengenai kelahiran mufrad itu yang menyentuh hati sebaliknya aku rasa sang penulis ini penuh ilmu pengetahuannya dalam menggarap fakta-fakta islamiah di dalam novel ini. kata orang jika kita tidak mampu berperang dengan pedang, pena lebih berkuasa untuk menakluk dunia. aku tersentuh, benar-benar tersentuh dengan kebesaran Allah Taala. seolah-olah selama ini aku tertidur dalam lena yang panjang, baru kini tersedar yang aku hanya secebis zarah di bumi Allah. sesungguhnya Islamnya aku pada hari ini hanya pada nama. aku lupa tanggungjawab yang aku bawa untuk dipikul di dunia. aku lupa janji yang aku ucapkan pada tuhanku sewaktu di dalam arah roh dulu bahawa aku akan menyembah Allah semata-mata hanya kepada Allah. tapi setelah aku kenal dunia aku lupa untuk mencari Dia, aku lupa untuk mengenal Allah. yang aku kenal hari ini adalah kemewahan, wang kekayaan. aku hari ini mengikut kata hati hasutan syaitanirrajim. mata hatiku tertumpu pada kesenangan duniawi. amalanku hanya sekadar yang wajib saja. seperti hanya ikutan yang telah diperturunkan. aku tak selami maksud sebenar amalan-amalan itu. aku tak hayati nikmatnya amalan-amalan itu dalam hidupku.

hari ini 22 Januari 2009, aku menamatkan pembacaan Rahsia Agenda Alam Hitam II. sekali ini aku rasa aku telah jatuh terjelepuk insaf, serasa aku sangat memahami perasaan berdosanya 'sang mahadiwa' itu bahawa di dunia ini tiada sesiapa yang lebih berkuasa melainkan Dia yang Hak.
betul aku suka sifat-sifat novel yang dikata orang ala-gothik, tetapi bukan taksub pada penceritaannya, yang aku nampak dakwah yang berkembang secara halus penuh sindiran, dihiasi madah pujangga mengajak kita berfikir sejenak andai dogengan ini benar, siapa agaknya kita hari ini. golongan mursyid atau mungkin kita dalam golongan Alam Hitam yang menyesatkan?
setelah 22 hari berlalu dalam tahun baru, hari ini aku bertekad untuk mengumpul bekalan yang diredhai. bekalan untuk kubawa sewaktu aku mengadap-Nya agar aku tidak malu menjadi hamba-nya.

Setelah mendengar penerangan dari Ibrahim, Massyurya Syah pun terangguk-angguk perlahan lalu menyebut firman Allah s.w.t dalam surah An-Nur:55
-"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memerintah di bumi. Sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan. Dan mereka menyembah Allah dan tidak mempersekutukan-Nya. Barangsiapa siapa yang engkar sesudah itu, merekalah orang-orang yang jahat."


buat Saudara Zehann Ur Rakhie terima kasih tak terhingga...novel ini telah memperlihatkan jatidiri seorang muslim yang selayaknya...semoga karya seperti ini akan berterusan selagi dirimu berkarya..aku doakan kau sentiasa dalam rahmat yang Esa.

Tiada ulasan: