Khamis, 5 Februari 2009

SEJARAH PENCEROBOHAN ISRAEL KE ATAS PALESTIN

Muqadimah

Isu pencerobohan Masjid Al-Aqsa dan Baitul Maqdis adalah satu kemelut yang amat sadis. Umat Islam sudah terlalu letih untuk bersedih dan menangis. Di tempat suci inilah para anbiya’ lahir dan dimakamkan. Tanah yang dianggap suci oleh penganut ketiga-tiga agama samawi atau istilah yang digunapakai ‘Agama Nabi Ibrahim’ atau ‘Abrahamaic Religion’ ini akhirnya menjadi mangsa rebutan. Tentera Salib, semasa 90 tahun penguasaannya (TM 1099-1187), telah melarang orang Yahudi dan Islam dari menduduki kota suci itu. Kepada umat Islam, kesucian dan kepentingan Masjid Al-Aqsa tidak dapat dipertikaikan lagi. Disanalah berlangsungnya peristiwa bersejarah Isra’ (perjalanan malam) Nabi Muhammad SAW. dari Masjid Al-Haram di Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Palestine yang berlanjutan dengan Mi'raj (naik ke ruang angkasa) dari As-Sakhra (Kubah Batu) hingga ke ufuk terjauh di Sidratul Muntaha. Di situ Nabi Muhammad SAW “berinteraksi” dengan Allah SWT dan menerima perintah solat wajib lima waktu. Peristiwa Isra’ tesebut diabadikan di dalam Al Quran di dalam Surah Al-Isra:1, dan peristiwa Mi'raj didalam Surah An-Najm:14.


Realiti yang menyentap perasaan adalah Palestine terus-menerus dizalimi Zionis Israel, yang begitu ganas merobek-robek bumi para anbiya’ itu sekaligus mengancam kewujudan masjid ketiga tersuci bagi umat Islam. Apakah sebenarnya yang mendorong pihak Zionis untuk merampas tanah ini?

Tanah Yang Dijanjikan ( “The Promised Land” )

Dari catatan sejarah, nenek-moyang kaum Yahudi telah diusir dari Jerusalem pada tahun 70 Masehi. Setelah bertahun-tahun bertaburan dimuka bumi, regim Zionis melalui agennya, Persatuan Freeemason Antarabangsa, dengan penuh ketelitian dan kelicikan, telah mula menakluk bumi Palestie, termasuk menceroboh Masjid Al-Aqsa. Ini adalah sebahagian dari manifestasi cita-cita ‘suci’ mereka untuk mendapatkan “Tanah yang Dijanjikan” (The Promised Land).

Menurut kepercayaan orang Yahudi sebagaimana yang tercatat di dalam Kitab Genesis 12, Tuhan telah menjanjikan kepada Nabi Ibrahim setelah Dia memerintahkan baginda as untuk meninggalkan tanah air baginda dan menjanjikan bahawa baginda dan keturunan baginda akan diberikan tanah air baru iaitu bumi Kanaan. Bumi inilah yang dinamakan Israel bersempena nama cucu Nabi Ibrahim. Bumi ini diberi jolokan ‘Tanah yang Dijanjikan’ kerana Tuhan telah mengulangi janji-janjiNya di dalam Kitab Genesis 12:7, 13:15, 15:18,17:8 untuk mengurniakan tanah tersebut kepada keturunan Nabi Ibrahim.

Sungguhpun begitu, ia hanya dikurniakan kepada keturunan Nabi Ibrahim iaitu dari keturunan Nabi Yaakob (Jacob) dan Nabi Ishaq (Isaac) sahaja yang merupakan nenek-moyang orang-orang Yahudi dan tidak diberikan kepada keturunan Nabi Ismail yang merupakan nenek-moyang orang-orang Arab. Kita perhatikan ayat dari kitab Injil didalam Buku Deuteronomy, Kitab keenam Injil versi Yahudi (The Sixth Book of Jewish Bible):

If a man have two wives, one beloved, and another hated, and they have borne him children, both the beloved and the hated; and if the firstborn son be hers that was hated: then it shall be, when he maketh his sons to inherit that which he hath, that he may not make the son of the beloved firstborn before the son of the hated, which is indeed the firstborn: but he shall acknowledge the son of the hated for the firstborn, by giving him a double portion of all that he hath: for he is the beginning of his strength; the right of the firstborn is his.” (Deuteronomy 21:15-17).

Ayat di atas menyatakan bahawa Ismail atau keturunannya tidak dinafikan hak kelahiran (birth right) mereka, akan tetapi sikap perkauman Bani Israel menyebabkan mereka menetapkan polisi yang tidak adil kepada adik-mereka sendiri sehingga pada akhirnya, keturunan Nabi Ismail tidak layak menerima kurniaan iaitu Tanah yang Dijanjikan tersebut.

Selain dari itu, orang-orang Yahudi juga berpendapat bahawa bumi Israel adalah pusat agama Yahudi. Sebahagian besar hukum-hakam dan undang-undang Yahudi berkait-rapat dengan “bumi Israel” dan hanya boleh dilaksanakan di situ. Sesetengah rabbai menegaskan bahawa adalah satu “mitvzah” atau perintah (commandment) untuk merebut bumi Israel dan tinggal di bumi itu, sebagaimana yang tercatat di dalam Num 33:55. Kitab Talmud yang juga mengatakan bahawa tanah itu adalah suci sehinggakan berjalan di atasnya menjamin kesejahteraan di dunia akan datang (World to Come). Justeru, doa supaya ia dikembalikan ke tangan orang-orang Yahudi dibacakan setiap hari, juga pada hari perayaan dan kebesaran agama Yahudi.

Pembinaan Semula Kuil Sulaiman (“The Temple of Solomon”)

Jika pemerkosaan ke atas bumi Palestine dilandasi oleh slogan ‘The Promised Land’, pencerobohan biadab ke atas Masjid Al-Aqsa pula didasari oleh pembinaan semula apa yang dikatakan sebagai Kuil Sulaiman atau The Temple of Solomon. Kuil Sulaiman diyakini sebagai tempat ibadah Bani Israel yang dibangun pada tahun 960 sebelum Masehi oleh Nabi Sulaiman as. Akan tetapi 370 tahun setelah itu, tempat ibadah ini dihancurkan oleh bangsa Babylon. Lanjutan dari kekalahan bangsa Babylon oleh tentera Parsi yang dipimpin oleh Cyrus, Kuil Sulaiman didirikan semula. Pada tahun 70 Masehi, tentera Rom menyerang kota Jerussalem dan meratakan tempat ibadah umat Yahudi tersebut. Tentera Rom tidak meninggalkan sebarang sisa atau bekas apapun dari tempat ibadah yang amat diagungkan oleh Bani Israel ini.

Sekitar satu abad yang lepas, apabila fahaman Zionisme mulai muncul, para pendukung Zionisme mendakwa bahawa Masjid Al-Aqsa didirikan di atas lokasi Kuil Sulaiman. Setelah terbentuknya rejim Zionis Israel di negeri Palestine pada tahun 1948 yang disusuli dengan pendudukan kota Baitul Maqdis pada tahun 1967, kaum Zionis semakin lancang melakukan usaha merosakkan Masjid Al-Aqsa untuk mendirikan Kuil Sulaiman di lokasi itu.

Menurut kepercayaan kaum Zionis, lokasi Masjid Al-Aqsa adalah pusat negeri Palestine. Dengan menghancurkan masjid ini dan mendirikan Kuil Sulaiman di atas lokasi itu, impian kaum Zionis akan tercapai. Tidak diragukan lagi bahawa agama Yahudi telah mengalami perubahan dan penyimpangan disepanjang sejarah. Dan sekarang, agama yang telah terpesong ini dimanfaatkan oleh kaum Zionis untuk mengejar tujuan dan kepentingan mereka. Masalah pembentukan sebuah pemerintahan Yahudi dan kepulangan umat Yahudi ke negeri Palestine yang dijanjikan, merupakan salah satu contoh nyata dalam masalah ini. Padahal, tidak sedikit pengikut agama Yahudi dan rabbai mereka yang menentang berdirinya rejim Zionis di negeri Palestine kerana umat Yahudi secara umumnya meyakini bahwa Kuil Sulaiman akan didirikan semula oleh Messiah yang kelak akan datang untuk memenuhi bumi dengan keadilan. Sementara kaum Zionis berkeras untuk mendirikan Kuil ini sebelum kedatangan Messiah.

Pengusiran Rakyat Palestine

Usaha keji Yahudi-Zionis menakluki bumi suci ini dimulakan seawal tahun 1917 yang mana Kerajaan British telah mengeluarkan Deklarasi Balfour (Balfour Declaration) yang menyatakan bahawa Palestine adalah tanahair bagi Yahudi sungguhpun pada ketika itu, orang Yahudi dianggarkan hanya 8% dari keseluruhan populasi Palestine dan mereka hanya menempati 2.5% dari keseluruhan bumi Palestine. Kejatuhan Daulah Islamiyyah Uthmaniyyah pada tahun 1924 seolah membuka ruang lebih luas untuk mereka mencapai impian, yang mana sebahagiannya telah direalisasikan pada tahun 1948 dengan tertegaknya negara Israel, lanjutan dari penyingkiran beratus-ratus ribu umat Islam keluar dari Palestine oleh pihak tentera yang ditekan oleh kelompok Yahudi seperti Irgun, Levi dan Haganot yang didalangi pihak British.

Futuhat Palestine

Pada tahun 638 M iaitu beberapa tahun setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW, tentera-tentera Islam telah mengepung Jerusalem. Ketua Gereja “Patriarch” iaitu Sophronius telah menyerahkan kunci kota suci ini kepada Khalifah Kedua, Umar al-Khattab ra dengan satu syarat iaitu tidak dibenarkan orang Yahudi mendudukinya. Umar membebaskan Jerusalem tanpa pertumpahan darah. Tiada pembunuhan beramai-ramai. Sesiapa yang mahu meninggalkan kota suci itu dibenarkan dan sesiapa yang mahu tinggal diberikan jaminan keselamatan untuk dirinya, hartanya dan tempat ibadahnya, sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Umar (Ummariyya Covenant). Untuk pertama kalinya dalam sejarah, pembebasan bumi Jerusalem tidak menitiskan darah. Umar kemudiannya dibawa oleh Sophronius ke tapak Masjid Al-Aqsa diiringi oleh ratusan Muslim yang kemudiannya mengarahkan tapak itu dibersihkan. Sebatang tiang masjid yang sangat besar telah didirikan di tapak ini sehingga akhirnya Masjid Al-Aqsa megah berdiri.

Sungguhpun Palestine kemudiannya direbut tentera Salib sehingga dibebaskan oleh Salahudin Al-Ayubi dan sebahagiannya telah direbut semula oleh pihak Zionis Israel, kedudukannya sebagai sebahagian tanah Daulah Islamiyyah tidak pernah gugur dan umat Islam wajib mempertahankannya dengan darah dan jiwa mereka.

Keistimewaan Palestine dan Masjid Al-Aqsa

Kedudukan istimewa bumi Palestine di dalam Islam dibuktikan dengan rujukan kepadanya di dalam Al Quran dan Hadis. Kepentingan terbesar Palestine kepada umat Islam adalah disebabkan terletaknya Baitul Maqdis, sebuah tempat suci di luar Hijaz. Masjid dan As-Sakhra atau Kubah Batu (Dome of the Rock) terletak di kawasan Baitul Maqdis.

Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelumnya, Baitul Maqdis adalah lokasi berlangsungnya peristiwa bersejarah Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad SAW.

Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid Al-Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilinginya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui (TMQ Al Isra’ 17:1)

Dan sesungguhnya Muhammad itu telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain, (iaitu) di Sidratul Muntaha (TMQ An Najm 53: 13-14)

Masjid Al-Aqsa adalah masjid kedua yang didirikan di atas muka bumi setelah Masjid Al-Haram di Mekah. Di dalam hadis riwayat Bukhari dari Abu Dzar, dia berkata: “ Suatu waktu aku pernah bertanya dengan Rasulullah SAW berkenaan dengan masjid pertama yang didirikan di muka bumi” baginda SAW menjawab: “Al-Masjid Al-Haram”. Kemudian aku bertanya lagi, kemudian masjid mana? Baginda menjawab: “Al-Masjid Al-Aqsa”. Aku kemudiannya bertanya baginda tempoh pembinaan antara dua buah masjid, baginda menjawab:
“ Empat puluh tahun ”.


Baitul Maqdis adalah kiblat pertama umat Islam yang mana mereka mendirikan solat dengan mengadap kesana di sepanjang period Mekah dan selama 16 bulan pertama sejurus selepas penghijrahan mereka ke Madinah, yang mana setelah itu turun perintah melakukan solat dengan mengadap ke Kaabah di Mekah. Ganjaran pahala bagi solat yang didirikan di Masjid Al-Aqsa adalah bersamaan dengan 500 solat yang dilakukan di tempat lain selain dari Masjid Al-Haram dan Masjid An-Nabawi di Madinah. Ini diterangkan di dalam hadis riwayat Tabarani dimana Rasulullah SAW bersabda: “ Solat di Masjid Al-Haram bersamaan dengan 100,000 solat dan solat di Masjid ku bersamaan dengan 1,000 solat dan solat di Baitul Maqdis bersamaan dengan 500 solat .”

Sikap Umat Islam Terhadap Isu Masjid al-Aqsa dan Palestine

Sesungguhnya umat Islam ini dahagakan maruah dan harga diri dan mereka merindui Jihad dan sanggup mengorbankan nyawa dan harta dalam menempuh perjalanan penuh onak dan duri untuk merampas semula hak mereka dan menghapuskan keseluruhan entiti Zionis. Walaubagaimanapun, perlu ditarik perhatian disini bahawasanya masalah mengembalikan semula maruah yang tercalar dan menghapuskan jalang Zionis itu bukanlah tanggungjawab rakyat Palestine atau bangsa Arab atas tiket nasionalisme dan assobiyyah, melainkan ianya adalah masalah dan tanggungjawab yang perlu dipikul di atas bahu seluruh umat Islam.

Pada 29 Mac 1979, semasa lawatan Presiden Anwar Sadat ke Jerusalem untuk memeterai Perjanjian Damai Mesir-Israel (Egypt-Israel Peace Treaty), Imam Masjid Al Aqsa telah bertanyakan tujuan kunjungannya seraya berkata, “Tempat suci ini telah dibuka oleh Umar, dibebaskan oleh Salahudin, dengan tujuan apa kedatangan kamu, Sadat? “ Sungguhpun perjanjian yang menemukan Presiden Sadat, Presiden Carter dan Perdana Menteri Israel Manahem Begin itu berakhir dengan pembunuhan ke atas Sadat, kemelut yang melanda Palestine tidak berakhir disitu.

Masalah Masjid Al-Aqsa, Palestine dan negara Zionis yang telah menjadi kanser dan membengkak dalam diri umat Islam tidak boleh diselesaikan dengan solusi ‘tambal-sulam’ yang bersifat sementara. Penyelesaiannya adalah dengan mencantas entiti Zionis dari akar umbinya dan dari setiap hasta tanah Palestine yang diduduki, bukannya sedikit di sini dan sedikit di sana. Masalah Negara Yahudi ialah kewujudannnya dan bukan persempadanannya. Penyelesaian ini bukanlah bagai sebuah mimpi di siang hari sebagaimana yang didendangkan oleh para penguasa, agen-agen dan mereka yang mudah mengaku kalah, iaitu orang-orang yang mencintai dunia dan sanggup hidup dalam kehinaan dan kehilangan maruah dan harga diri. Hanya dengan menggerakkan bala-tentera kaum Muslimin untuk mengganyang tentera Israel dan menghapuskan entiti Israel ini serta menerapk an Islam, masalah kanser didalam tubuh umat Islam ini akan selesai. Namun, nuansa untuk menggerakkan bala tentera kaum Muslimin ini hanya akan benar-benar dapat dimanifestasikan apabila Daulah Islam tertegak. Pada waktu ini pemimpin-pemimpin boneka kaum muslimin sekadar menempatkan bala tentera ini di dalam kem-kem mereka, mengilatkan senjata mereka, sedangkan kaum Msulimin di Palestine menjerit mengharapkan kaum Muslimin membantu mereka.

Kita menyaksikan ledakan emosi yang dipicu oleh tekanan ke atas kaum Muslimin di sana sini. Tenaga yang menggelojak di dalam diri umat Islam ini tidak sekadar disebabkan oleh Masjid Al-Haram dan Baitul Maqdis dan tanah yang penuh keberkatan itu sahaja sebaliknya terdapat insentif dan faktor motivasi dan pemangkin yang lebih besar dan kuat. Jika status Masjid Al-Aqsa dan kesuciannya disisi umat Islam dapat menggegarkan emosi mereka, tidakkah Al-Quran yang merupakan Kalamullah itu sendiri memiliki kesucian yang lebih agung yang tidak terbanding di hati umat Islam? Mengapa emosi umat Islam tidak bangkit disebabkan Al Quran? Mengapa umat masih berdiam diri apabila Allah menyeru agar Islam diterapkan, sedangkan hakikatnya hari ini Islam dihinakan? Masih relavan lagikah pengharapan kita pada undang-undang antarabangsa seperti Resolusi PBB nombor 242 yang menuntut regim Tel Aviv mengundurkan diri dari wilayah yang diduduki seperti Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang ternyata gagal? Bukankah sekutu Israel iaitu pihak Kuffar Barat telah memporak-perandakan Negara Al Quran iaitu Khilafah dan mempadang-jarak padang-tekukurkan Daulah Islamiyyah ini menjadi lebih dari 50 buah negeri-negeri kecil? Mengapakah sentimen umat Islam tidak terusik demi Al Quran dan Sunnah yang dipinggirkan dan hukum Syarak yang diperlekehkan? Tidakkah Al Quran dan As-Sunnah lebih besar kesuciannya berbanding dengan Masjid Al-Aqsa? Dan bukankah hanya dengan tertegaknya kalimah Allah melalui sebuah Negara Islam, masalah Palestine ini akan dengan mudah dapat diselesaikan?

Khatimah

Kini, telah sampai masanya umat Islam untuk bertindak tanpa berlengah-lengah lagi untuk menegakkan Islam dengan asas aqidah yang mendasari kehidupan dan perbuatan mereka. Palestine dan seluruh umat Islam didunia ini akan dibebaskan dari kezhaliman manusia kepada keluasan rahmat Allah setelah umat yang kini lesu mencapai martabat “Khairu Ummah” – umat terbaik yang bakal mendirikan semula Khilafah dan menobatkan DeenNya ke puncak tertinggi; yang akan menyatukan kaum muslimin, menyebarluaskan risalahNya dan mara ke mercu tertinggi sebagai sebuah kuasa besar dunia, merealisasikan Islam bukan sekadar penyelesaian sebahagian isu yang melanda penganutnya, malah menyerlah sebagai rahmatan lil ‘alamin.


RENUNGAN
DI DINDING MUZIUM MANGSA PERANG YAD VASHEM DI ISRAEL TERUKIR KATA-KATA BERIKUT:
'KEALPAAN ADALAH JALAN MENUJU PENGUSIRAN, SEMENTARA KEWASPADAAN ADALAH KUNCI PEMBEBASAN.'
pastinya setelah 61 tahun bumi Palestin ini diinjak-injak, rakyatnya pasti tidak akan membiarkan diri mereka lupa akan kesakitan, kematian dan penderitaan yang dialami saban waktu, saban hari...
semoga Allah menyembuhkan luka-luka di hati para mukmin, semoga Allah memulihkan kehidupan yang punah. Semoga Allah membawa mereka kembali ke kota para Nabi dan Rasul, Kota Al Quds.

Tiada ulasan: