Jumaat, 27 Februari 2009

MUHASABAH DIRI

Amar makruf nahi mungkar teras kesatuan ummah
Oleh Ruzain Syukur Mansor

Konsep wahdah harus dihayati Muslim dalam cabaran mendepani maruah, martabat Islam

PERUBAHAN zaman dan keadaan sosial yang mencabar sememangnya menuntut daya ketabahan iman yang jitu. Malah, dalam mendepani maruah umat Islam dicabar dan menghadapi 'imperialisme alaf baru' di Palestin misalnya, istilah kesatuan ummah wajar diberi perhatian.

Bukan mudah mengangkat martabat agama Islam seandainya umatnya sendiri belum menghayati apa erti kesatuan ummah. Malah usaha untuk menjadi umat terbaik atau khaira ummah pasti menjadi omong kosong.

Wahdah merujuk kepada kesatuan atau bersatu padu. Kesatuan dilihat daripada sudut kesatuan hati dan fikrah terhadap sesuatu perkara. Kesatuan hati melahirkan kesepaduan fikrah. Kesatuan fikrah pula memungkinkan kesepaduan minda. Kesepaduan minda akhirnya memantapkan kesatuan hujah. Kesatuan hujah menghasilkan kesepaduan tindakan.

Semangat bersatu padu atau konsep wahdah ini harus dihayati setiap Muslim yang mengaku berada dalam sebuah jemaah yang berpaksikan iman dan Islam. Bayangkan sepasukan bala tentera yang tidak sepakat dalam mengatur strategi peperangan? Apakah kemenangan akan menjadi milik mereka?

Bagaimana pula seandainya pasukan pengendali kapal tidak sehaluan mengendalikan haluan perjalanannya? Mungkinkah mereka selamat sampai ke perhentian? Begitulah jika konsep kesatuan itu tidak menjadi teras.

Umat Islam masa kini diasak pelbagai isu yang menghimpit jiwa. Isu Muslim di Gaza yang dihimpit serangan dan kekalutan hidup angkara Zionis seolah-olah barah semakin merebak. Kesukaran penyaluran bantuan kerana penutupan sempadan pula semakin menyukarkan misi membantu.

Tidak kurang hebatnya Muslim dituduh sebagai pengganas dan mengancam keamanan. Semua isu itu memerlukan pembelaan daripada umat Islam sendiri tetapi mana mungkin ia diatasi tanpa wujudnya wahdatul ummah atau kesatuan ummah.

Tiadanya kesatuan fikrah memungkinkan tiadanya kesatuan dalam tindakan. Isu Palestin masih belum dijuarai umat Islam jika masih wujud prasangka sesama sendiri. Malah sikap saling menyalahkan dan mengharapkan orang lain terlebih dulu bertindak lebih memburukkan keadaan.

Jelaslah, dalam mendepani isu global umat Islam, kesatuan umat adalah objektif utama perlu disepakati dengan nada sekata. Ummah terbaik pastinya didasari iman dan takwa yang jitu.

Allah berfirman yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan jika ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (seperti mana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang yang fasik." (Surah ali-'Imran, ayat 110)

Yang pasti konsep amar makruf nahi mungkar itu menjadi teras ke arah melahirkan khaira ummah kerana insan berkualiti bukan saja baik hati budinya tetapi peka terhadap keperluan ummah. Malah, sentiasa ke hadapan dalam misi dakwah mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Muhammad Al-Ghazali menjelaskan maksud dakwah sebagai satu program lengkap, yang semua peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup, bagi menyingkap jalan yang menjadi petunjuk kepada mereka.

Dunia dakwah adalah cabang ilmu yang cukup luas dan praktikal . Pelaksanaannya tidak lagi terhad kepada pegawai penguatkuasa jabatan agama dan pencegah maksiat, tetapi dikongsi semua daripada penulis, pendidik, penggubal dasar ekonomi dan undang-undang, penjawat awam, sehinggalah golongan pengendali latihan motivasi, semuanya tidak lagi terlepas daripada memikul tanggungjawab dakwah.

Kesedaran seluruh anggota masyarakat mewakili golongan pendakwah, pendidik, ibu bapa, ahli pasukan keselamatan beruniform, pentadbir masjid, NGO Islam, warga industri, pakar motivasi serta penulis perlu dijana untuk melahirkan ummah terbaik.

Program Forum Perdana Perpaduan Ummah, Seminar Penghayatan, Ceramah Keibubapaan, Kempen Cintai Masjid, Kem Cintai Rasul, Muzakarah Pendakwah serta lain-lain program dakwah pasti memberikan impak kesedaran yang tinggi.

Usaha memperkukuhkan perpaduan dan kesatuan ummah wajar diberi perhatian dan semoga pelaksanaan Bulan Dakwah 2009 memberi manfaat kepada semua lantas menyemarakkan semangat kesatuan ummah. Semoga khaira ummah yang dicita-citakan menjadi realiti

SUMBER: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Agama/20090225224220/Article/index_html

3 ulasan:

stROZze berkata...

masalah terbesar org islam tak bersatu terutamanya pemimpin2 arab yg bersekongkol dgn barat.. mereka ada di atas kerana barat..

kaklong69 berkata...

pucuk pangkal semua bermula dari dalam diri sendiri,jika baik maka baik selamanya tapi jika buruk tak ingat tuhan maka jahanamlah kehidupan kita.tanda2 kiamat kecil dah ada tapi manusia terlepas pandang dan abaikan....cewah!KL ni dlm proses muhasabah diri..masih ada kekurangan.

s@yangh@sni berkata...

strozze: semoga apa yang berlaku di sana menjadi iktibar buat kita semua. kat tempat kita, sesama bangsa MALAYSIA pun tak bersatu.

kaklong: sebab tu yus kumpul artikel bercorak begini sebagai panduan juga pedoman untuk memperbaiki diri...